KANGAR, 1 Disember - Banjir di Perlis semakin reda dengan jumlah penduduk yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus berkurangan kepada 1,503 orang daripada 428 buah keluarga setakat pukul 9 malam ini.
Sebanyak 16 PPS ditutup, menjadikan hanya lapan PPS yang masih aktif.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan, lima PPS masih dibuka di Kangar yang menempatkan 803 penduduk daripada 206 buah keluarga.
Di Arau, dua PPS masih dibuka bagi membolehkan 501 penduduk daripada 159 buah keluarga berlindung.
Di Padang Besar pula hanya sebuah PPS, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh masih beroperasi, menempatkan 199 orang daripada 63 buah keluarga.
Selain SK Lubuk Sireh, tujuh PPS yang masih beroperasi ialah di Dewan Warisan, Dewan 2020, IPG Kampus Perlis, SK Panggau, SK Putra, SK Tambun Tulang dan SK Changkat Jawi.
Sementara itu, jalan utama di Kampung Tasoh berhampiran Pusat Kokurikulum Kem Datuk Ariffin Mohd Nam masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan berkenaan masih ditenggelami air.