KUALA LUMPUR, 1 Disember - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini merakam keterangan sekumpulan lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata individu berstatus Orang Yang Disyaki (OYDS) itu dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI untuk diambil keterangan mengikut peruntukan Seksyen 59 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560].
Siasatan terhadap mereka melibatkan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).
OYDS terlibat hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan JAWI dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rakaman percakapan dilakukan.
Seterusnya, JAWI akan memanggil saksi dalam masa terdekat bagi melengkapkan pengumpulan keterangan.
"Saya menyeru semua pihak agar tidak sekali-kali memandang remeh terhadap gejala keruntuhan moral ini. Isu ini jika dibiarkan mampu menghancurkan jati diri generasi akan datang serta mencemarkan maruah negara.
"Institusi dakwah perlu memperhebat usaha penerangan kefahaman Islam yang murni kepada masyarakat di lapangan.
"Semoga Allah SWT memelihara kita daripada segala bentuk kerosakan akhlak dan mengurniakan taufik untuk kembali kepada fitrah dan jalan yang benar," kata Datuk Dr Mohd Na’im lagi.