fb fb fb fb fb

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta di Malaysia

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi memperkukuh operasi pemasangan dan ujian di Malaysia, sekali gus menjadi tumpuan utama perkembangan terbaharu sektor semikonduktor negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan Intel terhadap perancangan jangka panjang Malaysia, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberi hala tuju jelas pembangunan industri berteknologi tinggi.

"Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap" menurut kenyataan itu.

Beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, seorang anak Malaysia yang berjaya di persada global bagi membincangkan potensi pelaburan strategik dan pengukuhan kedudukan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Syarikat itu juga meneruskan kerjasama dengan institusi pendidikan melalui program elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan, yang menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan.

Menurut Perdana Menteri, komitmen pelaburan berterusan Intel membuktikan keyakinan syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi strategik, sekali gus memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem industri dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia.

MASNIZA AWANG KECHIK