fb fb fb fb fb

Banjir di Perak, 61 keluarga terjejas

Foto BERNAMA

IPOH, 6 Oktober- Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Perak terus meningkat kepada 225 orang daripada 61 keluarga setakat pada pukul 4.00 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga daerah.

"PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak, yang dibuka pagi tadi, menempatkan 76 orang daripada 17 keluarga.

"Di daerah Kerian, 54 penduduk daripada 15 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, manakala 50 penduduk daripada 15 keluarga berlindung di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

"PPS SK Matang di daerah Larut, Matang, dan Selama pula menempatkan 45 penduduk daripada 14 keluarga. PPS SK Matang Gelugor ditutup secara rasmi pada pukul 2.05 petang tadi," menurut kenyataan itu.

Di Kedah pula, jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun meningkat sedikit berbanding tengah hari tadi.

Setakat pada pukul 4.00 petang, seramai 162 penduduk telah dipindahkan ke PPS berkenaan, berbanding 154 orang pada tengah hari.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, pertambahan itu melibatkan 53 keluarga.

"Pertambahan penduduk ini melibatkan Kampung Paya Lantau, Kampung Paya Nongmi, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh, dan Kampung Padang Halban," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, seramai 80 penduduk menjadi kumpulan awal yang dipindahkan ke PPS SMK Changlun lewat malam tadi setelah kediaman mereka dimasuki air akibat hujan lebat berterusan, yang menyebabkan paras air sungai meningkat dengan cepat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM