fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Johor, dua PPS dibuka

Foto Ihsan APM Johor

KLUANG, 6 Oktober- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Onn Jaafar dan SK Seri Kampung Renggam , Kluang, pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

Pembukaan itu susulan banjir kilat yang menjejaskan 116 penduduk di daerah tersebut.  

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan mereka dipindahkan ke PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat lebih dua jam, awal pagi tadi.

Penduduk terjejas terdiri daripada 20 keluarga dari Taman Suria dan Taman Rekamas, Simpang Renggam dan 16 keluarga di Kampung Seri Tengah, Renggam.

Lima sungai di daerah itu turut merekodkan bacaan bahaya antara tujuh meter sehingga 37 meter.

Pemantauan berterusan akan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dari semasa ke semasa.

Orang ramai dinasihat untuk terus berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir, memandangkan cuaca yang tidak menentu. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM