JOHOR BAHRU, 6 Oktober - Penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dijangka menjadi langkah penting dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin, berkata inisiatif ini adalah kunci kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ) yang menawarkan lebih daripada 100,000 peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang kemahiran.
"Proses rundingan dengan syarikat-syarikat antarabangsa sedang berjalan untuk memastikan gaji yang ditawarkan berada pada tahap premium, dengan gaji minimum yang disyorkan antara RM3,000 hingga lebih RM15,000 bergantung kepada jawatan.
"Banyak industri yang memasuki Johor kini sedang mencari tenaga kerja, dan sudah bersedia untuk menyediakan tenaga kerja. Johor sudah bersedia melalui JTDC untuk meletakkan anak-anak muda Johor di dalam peringkat industri," katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan yang ke-29 di Pasir Gudang di sini hari ini.
JTDC dijadualkan untuk dilancarkan pada 19 Oktober depan dengan kerjasama semua 108 institusi pendidikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pada Khamis lalu, media melaporkan kerajaan negeri merancang beberapa strategi bagi menangani peningkatan kos sara hidup yang meningkat di negeri itu susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas JS-SEZ.