KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) tahun ini membawa mesej kelembutan alunan air dalam penganjurannya menerusi konsep astaka dan tema pentas serta kesemua cetakan buku aturcara, paparan media sosial dan sebagainya.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Masykuri Khamid berkata ia membawa gambaran bacaan ayat suci kalam Allah dalam irama dan melodi ayat-ayat al-Quran mengalir tanpa henti dari mulut qari ke hati setiap pendengar.
Selain itu, lakaran motif bunga-bungaan yang menzahirkan kelembutan juga ditampilkan dalam konsep kali ini yang tampil gagah dan ekslusif dengan warna tema merah dan emas.
"Kalau dapat lihat, kita punya warna adalah warna maroon yang menggambarkan satu kekuatan pada kita supaya majlis yang diadakan kali ini ada gahnya, ada kekuatan kepada kita semua dalam penganjuran MTHQA ke-64 kali ini," kata Masykuri Khamid kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, penganjuran yang diadakan saban tahun itu amat dinantikan peminat tilawah dan hafazan seluruh dunia.
Justeru, penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pencinta al-Quran akan dilakukan setiap masa selain mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
MTHQA 2024 sedang berlangsung kini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sehingga 12 Oktober nanti.