fb fb fb fb fb

Jangan cepat percaya kandungan tular - Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KANGAR, 6 Oktober – Semua 1,878 Komuniti Madani yang wujud di seluruh negara, termasuk 45 yang khusus ditubuhkan di negeri Perlis, digesa untuk memainkan peranan aktif dalam memperkasakan penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama dengan semua pihak ke peringkat akar umbi adalah penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih, terutamanya ketika banyak isu ditularkan di media sosial.

Fahmi menekankan pentingnya proses dua hala dalam penyaluran maklumat, yang mana kerajaan memberikan maklumat kepada komuniti dan sebaliknya.

“Kita lihat ada penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan AI ‘deepfakes’ (imej palsu)… seolah-olah (isteri Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pun (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap atau pun mana-mana pimpinan yang lain, atau pun juga kita punya penyanyi tersohor seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Jadi kita kena sahkan dulu akaun tu milik siapa? Betul ke akaun itu adalah akaun yang rasmi atau pun ia akaun palsu, akaun impersonator (seseorang yang meniru atau menyamar sebagai orang lain).

"Harapan saya dan pihak kerajaan ialah Komuniti Madani dapat membantu menterjemah apa yang kita sampaikan secara rasmi dalam format yang mudah difahami oleh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kita MADANI Peringkat Perlis di sini hari ini.

Oleh itu, Fahmi menasihatkan pengguna agar tidak cepat mempercayai kandungan yang disebarkan di media sosial, kerana ia mungkin merupakan maklumat lama yang telah dikongsi semula atau telah disunting, dan tidak mencerminkan konteks yang sebenar.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk reruai pameran oleh 11 agensi, demonstrasi masakan asam pedas, persembahan kebudayaan, silat, DJ Corner Perlisfm, dan sukaneka.

GRACE AISYAH KEDAYAN