fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan: Pasir Mas kekal merekodkan penduduk terjejas tertinggi

KOTA BHARU, 20 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan Kelantan telah meningkat kepada 25,514 orang.

Kesemua mereka terdiri daripada 7,294 keluarga, yang kini ditempatkan di 138 PPS yang masih beroperasi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan setakat pukul 11.00 malam, Pasir Mas kekal merekodkan jumlah penduduk paling ramai dipindahkan iaitu seramai 7,108 penduduk meningkat hampir 2,000 penduduk berbanding lewat petang tadi.

Ia diikuti Tumpat sebanyak 4,442 penduduk, Pasir Puteh (3,685), Kuala Krai (3,132), Kota Bharu (3,028) dan selebihnya di Tanah Merah, Machang, Bachok serta Jeli.

"Beberapa sungai utama di negeri termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kuala Nal serta Sungai Golok di Jenob dan Rantau Panjang masih di paras bahaya," menurut Laman Web Rasmi Public Infobanjir.


(Foto Fail)

Sementara itu, di Pahang, jumlah penduduk terjejas banjir kekal seramai 865 orang daripada 218 buah keluarga setakat pukul 11.00 malam tadi melibatkan daerah Kuantan dan Raub.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan kesemua penduduk terjejas kini ditempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Daripada 11 PPS, lapan daripadanya dibuka di Kuantan hari ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang, SK Beserah, SK Sungai Ular dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung.

Selain itu, SK Pelindung, SK Cherating, Surau Kampung Chendor dan Balai Raya Bukit Kuin 1.

Di Raub pula, tiga PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Ria, Balai Raya Chenua dan Dewan Kampung Pia.

 

Media Baharu