JOHOR BAHRU, 3 Mac- Banjir di Johor merekodkan jumlah penduduk terjejas banjir seramai 32,870 orang, setakat pukul 4.00 petang tadi.
Jumlah itu melibatkan 9,288 keluarga yang masih berlindung di 219 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 daerah negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataannya berkata Segamat merekodkan daerah paling teruk terjejas dengan 12,258 daripada 3,511 keluarga berada di 78 PPS.
Rekod itu diikuti daerah Kluang, 5,251 penduduk (39 PPS), Batu Pahat pula 4,491 penduduk (25 PPS) dan Kota Tinggi mencatatkan 3,431 penduduk (20 PPS).
Daerah-daerah lain yang turut terjejas ialah Mersing, Tangkak, Muar, Kulai, Pontian dan Johor Bahru.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera bernilai RM50 juta kepada Johor.
Bantuan tersebut diperuntukkan bagi kegunaan membantu penduduk terjejas serta keperluan-keperluan segera di negeri itu.
(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS)