SEGAMAT, 2 Mac - Proses menghantar peralatan dan bantuan menghadapi banjir di 10 daerah terjejas di Johor berjalan lancar.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penambahan seperti khemah dan bantuan makanan juga akan ditambah mengikut keperluan.
Beliau berharap bantuan menerusi kerajaan negeri, Yayasan Sultan Ibrahim dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberi keselesaan kepada penduduk terjejas yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
(Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau peralatan dan bantuan yang akan dihantar
untuk penduduk terjejas banjir)
"Kita doakan supaya penduduk terjejas terus bersabar, di peringkat agensi-agensi kerajaan persekutan dan agensi negeri bekerja siang dan malam termasuk wakil-wakil rakyatnya, untuk memastikan makannya mencukupi, selamat sampai dan sebagainya. Insya-Allah kita doakan supaya banjir surut, kalau kita tengok cuaca hari ini bertambah baik di kawasan Segamat ini, Insya-Allah, majoriti penduduk terjejas yang terperangkap dah dikeluarkan semalam berkat bimbingan semua agensi seperti yang sebut tadi, bomba, APM. Saya juga ingin berikan penghargaan kepada JKM, mereka juga membantu dari segi bekalan makanan, tidak lupa juga kurniaan daripada Sultan Johor yang sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk terjejas banjir ini," kata beliau selepas mengadakan tinjauan di lokasi banjir, di sini hari ini.
Sehingga tengah hari ini, Segamat merekodkan angka penduduk terjejas paling tinggi melebihi 8,000 orang daripada jumlah keseluruhan 26,633 penduduk terjejas di 10 daerah di negeri Johor.