fb fb fb fb fb

17 pusat peperiksaan SPM terjejas akibat banjir

(Berikutan hujan lebat berterusan semalam, sebanyak 17 pusat
peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas)

PUTRAJAYA, 2 Mac- Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan telah menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), berikutan hujan lebat berterusan semalam, sebanyak 17 pusatpeperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.

"Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya," menurut kenyataan itu.

Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.

(17 pusat peperiksaan SPM terjejas akibat banjir)

KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpul maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat. Penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut.

Semua calon SPM tahun 2022 turut dinasihatkan agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.

Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.

Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri..

Media Baharu