SERDANG, 3 Mac- Kerajaan mengumumkan bantuan segera sebanyak RM50 juta kepada Johor yang merupakan negeri paling teruk terjejas dilanda banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja baik pulih infrastruktur yang rosak dan bantuan-bantuan lain kepada penduduk terlibat.
"Bantuan segera bernilai RM50 juta akan diberikan kepada Johor digunakan untuk bantu mangsa banjir dan apa-apa keperluan segera yang lain.
"Beberapa menteri telah turun hari ini dan esok pun ada lagi. Saya akan atur dalam masa terdekat," kata Anwar ketika ditemui media selepas menunaikan solat jumaat di Masjid UPM di sini, hari ini.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pemberita selepas
menunaikan solat jumaat di Masjid UPM, hari ini)
Johor kini merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir yang merekodkan lebih 30,000 penduduk terjejas 10 daerah di negeri itu.
Terdahulu, kehadiran beliau di pekarangan masjid UPM disambut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khutbah Jumaat bertajuk Ajaran Sempurna, Anak-Anak Terpelihara disampaikan Imam Masjid UPM, Mohd Hafiz Ghzali kepada lebih 4,000 jemaah yang hadir manakala Solat Jumaat diimamkan Amir Ikmal.
Selesai solat, Datuk Seri Anwar sempat bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum bergerak meninggalkan masjid.
Sebelum itu, Perdana Menteri sempat meluangkan masa untuk makan tengah hari di Medan Selera Seri Serdang yang turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.