fb fb fb fb fb

Banjir di Johor, ATM sedia bantu pergerakan calon SPM ke pusat peperiksaan

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh

KOTA TINGGI, 9 Januari- Trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga bagi membantu pergerakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Kota Tinggi, Johor ke pusat peperiksaan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu sehingga Khamis ini.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata keadaan jalan yang dinaiki air terutama di kawasan bandar menjejaskan pergerakan calon untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab dan SMK Bandar.

"Untuk hari ini masih lagi gunakan trak. Memang kita pastikan pelajar-pelajar ini selamat sampai ke dewan peperiksaan."

Terima kasih juga kepada ATM kerana sentiasa memberi kerjasama yang sangat baik dan terima kasih juga kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang sentiasa kemas kini maklumat dan keadaan dari masa ke masa," kata Norlizah kepada pemberita, di sini.

Setakat ini, terdapat dua buah sekolah yang ditutup di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya dan Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang kerana dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir. 

Secara keseluruhan seramai 48,276 pelajar dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di Johor.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM