fb fb fb fb fb

Penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam di Kelantan bakal nikmati rangkaian telekomunikasi

Che Hussain@Che Ahmad Che Kob

GUA MUSANG, 9 Januari- Kampung Sungai Bayu Dalam di sini, Kelantan bakal menikmati perkhidmatan rangkaian telefon dan internet apabila kawasan perkampungan itu akan disenaraikan dalam perancangan pelaksanaan menara telekomunikasi baharu di bawah projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2.

Ahli Parlimen, Mohd Azizi Abu Naim berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah capaian internet di kampung berkenaan.

Menurut Mohd Azizi, aduan penduduk telah mendapat respon positif daripada pihak SKMM.

"Alhamdulillah, tidak sampai sebulan, dua (bulan) selepas isu ini kita kemukakan, terus dapat respon positif daripada kerajaan.

"Jadi selaku Ahli Parlimen, saya berbesar hati menerima bantuan yang amat cepat daripada Kerajaan Persekutuan untuk memudah dan menyelesaikan masalah di kawasan Sungai Bayu Dalam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini.

Lawatan berkenaan turut disertai oleh pihak SKMM yang diketuai Pengarahnya, Hairudin Mohd Zin.

Masalah komunikasi di kampung berkenaan mendapat perhatian selepas menerima aduan daripada wakil komuniti itu, Che Hussain@Che Ahmad Che Kob.

"Harapan Ayah Mad (Che Hussain), apabila perkara (pelaksanaan) ini berjalan dalam masa terdekat, selesailah masalah perhubungan antara kami dengan penduduk kampung (lain) dan bandar.

"Semua penduduk sini mengharapkan (isu) talian telefon ini selesai, insya-Allah," katanya.

Terdapat kira-kira 50 penduduk mendiami Kampung Sungai Bayu Dalam,

Mereka dilapor perlu keluar melalui jalan ladang berbatu kira-kira tiga kilometer untuk mendapatkan rangkaian telefon dan capaian internet sejak 10 tahun lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA