GEORGETOWN, 9 Januari- Warga Pulau Pinang kini bersedia untuk menghadapi tempoh 96 jam ketiadaan air bermula 10 Januari hingga 14 Januari depan.
Situasi itu berlaku berikutan kerja pembaikan di Loji Rawatan Air, Sungai Dua oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Tinjauan RTM mendapati rata-rata mereka telah menyimpan bekalan air masing-masing untuk kegunaan sepanjang tempoh berkenaan.
"Kami di RTM Pulau Pinang, jabatan ada menyediakan tong untuk kegunaan bersama kakitangan. Namun, ada yang ambil inisiatif sendiri untuk mengisi air dalam baldi dan bekas air untuk kegunaan bersama," kata Faridah Abdul Razak, penjawat awam di RTM Pulau Pinang.
"Kedai nasi kandar terpaksa kita tutup untuk kita beri laluan kepada PBAPP buat kerja pembaikan. Ini kerana, penggunaan harian kita tinggi dan kita amat pentingkan kebersihan dan kualiti makanan kita," kata Mohd Uwais Jamil, peniaga nasi kandar.
"Saya sudah bersedia untuk berdepan dengan ketiadaan air selama empat hari nanti. Saya sudah menadah air sebanyak lima tong termasuk juga untuk kegunaan di dapur."
"Kerja pembaikan ini pun untuk kebaikan negeri Pulau Pinang. Kita nak paip elok apa semua, selain itu kalau boleh nak minta PBAPP sediakan lori tangki air dalam tempoh itulah," kata Bunisa Mohd Ali, suri rumah.
Hampir kira- kira 590,000 penduduk Pulau Pinang yang membabitkan lebih 50 lokasi di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan pulau dijadual mengalami gangguan bekalan air.