fb fb fb fb fb

Suami berhenti kerja jaga isteri kanser lidah

Idham Ibrahim dan isterinya, Fatihah Fauzi

TUMPAT, 9 Januari - Seorang lelaki cekal menjaga isterinya yang menghidap kanser lidah sejak dua tahun lalu di Kampung Kubang Batang, Tumpat, Kelantan.

Idham Ibrahim, 31 tahun berkata, isterinya, Fatihah Fauzi, 36 disahkan menghidap kanser lidah selepas setahun perkahwinan mereka.

Beliau berkata, kini usia perkahwinannya memasuki tahun ketiga dan keadaan isterinya semakin teruk selepas kansernya mula merebak ke paru-paru dan tulang belakang.

Katanya, disebabkan itu juga dia terpaksa berhenti kerja di kilang memproses serunding bagi memastikan isterinya itu mendapat rawatan di hospital

Menurutnya, sebaik sahaja disahkan kanser, isterinya mendapatkan rawatan radioterapi dan keadaan lidah Fatihah semakin baik.

Namun kata, beberapa bulan lalu doktor mengesahkan sel kanser mula merebak ke tulang belakang dan paru-paru dan perlu menjalani enam sesi kimoterapi.

"Doktor ambil sampel isi lidah dan selepas sebulan kanser dia merebak ke organ lain, dan selepas sebulan rawatan sembuh sebentar dan kemudian kembali merebak ke paru-paru dan tulang belakang," kata Idham dan menambah dia dan isterinya baru sahaja pulang ke rumah selepas dua bulan tinggal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kini isterinya sudah tidak boleh berjalan dan hanya bergantung dengan susu kerana tidak boleh makan makanan pejal.

Orang ramai yang mahu membantu mengurangkan beban pasangan suami isteri itu boleh menghubungi Idham di talian 01116141617 atau menyumbang melalui CIMB di nombor akaun 7622957938.

TETITIA YUSOFF