PUTRAJAYA, 9 Januari - Pandangan seorang pelakon terkenal tanah air berhubung cadangan membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini, tidak boleh diterima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi kenyataan memberitahu cadangan yang diberikan jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.
"Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah sewajarnya dijadikan panduan.
"Justeru, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang dicadangkan artis tersebut jelas tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat," kata Dr. Mohd Na’im.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam.