KUALA LUMPUR, 9 Januari- Sistem pembayaran terbuka bagi rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan bermula tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kemudahan itu akan disediakan di 140 stesen merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel.
Jelasnya, pelaksanaan itu memerlukan sedikit masa bagi meneliti beberapa perkara sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Usaha itu turut mengambil kira proses mengubah suai gantri di setiap stesen agar dapat diintegrasi menggunakan sistem tersebut.
"Kita menjangkakan bahawa perkhidmatan ini akan dapat dimulakan pada tahun depan. Ia mengambil sedikit masa kerana ada beberapa proses dalaman seperti kita perlukan tender pembekal sistem itu, kontraktor yang dapat mengendalikan sistem itu dan agak rumit sebab setiap stesen punya gantri yang perlu diubah suai."
Bukan mudah untuk laksanakan ini dalam masa satu atau dua bulan. Ia mengambil masa hampir setahun untuk semua stesen dinaik taraf di setiap gantri," kata Anthony pada sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan Pelan 2024 di ibu negara.
Tambah Anthony, semua stesen perlu diintegrasikan terlebih dahulu sebelum kaedah sistem pembayaran terbuka tersebut diaplikasikan.
"Semua stesen perlu diintegrasikan dulu sebelum sistem pembayaran terbuka ini dapat dilaksanakan. Namun, saya sudah dapat kepastian bahawa mereka menyatakan komitmen untuk memulakan proses berkenaan pada tahun ini seterusnya kita harap perkhidmatan ini dapat dilancarkan pada tahun depan," jelas Anthony.
Sistem pembayaran terbuka itu bakal memperkenalkan penggunaan MyDebit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada menggunakan kad Touch 'n Go atau token.