fb fb fb fb fb

GLIC, GLC disaran melabur dalam negara - PM

Foto FB PM

PUTRAJAYA, 9 Januari- Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) disaran mengurangkan pelaburan di luar negara, sebaliknya meningkatkan pelaburan dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun bersedia memberi kelonggaran kepada syarikat-syarikat terbabit membuat pelaburan di luar negara, sekiranya diperlukan.

"Kalau alasannya tidak menarik maka apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelabur asing ke Malaysia. Kalau syarikat-syarikat utama kita, tidak ada keupayaan untuk memastikan jenis pelaburan yang menarik dan memberi keuntungan."

"Jadi, kita harus beri kelonggaran. Kita akan bincang sekali lagi. 20% hingga 25% saya belum pasti tetapi tentu ada tanggungjawab untuk sama- sama memikirkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan," kata Anwar ketika berucap semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta Kementerian Kewangan dan Pantau MADANI menyelaras usaha supaya GLIC dan GLC melaksanakan pelaburan strategik.

Usaha itu bagi memastikan selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM