KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tiga pertuduhan pecah amanah, menyeleweng 61,000 liter minyak diesel bernilai hampir RM100,000.
Tertuduh Azli Mohd Noor, 38 tahun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Tiga pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 1 hingga 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pecah amanah dengan melakukan penyelewengan minyak diesel 26,000 liter dan menyebabkan kerugian lebih RM41,000.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan minyak diesel sebanyak 20,000 liter dengan nilai kerugian RM32,000 dan 15,000 liter dengan kerugian RM24,000.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 hingga 25 Februari tahun lepas di sekitar perairan Kuala Terengganu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Sebutan semula kes berkenaan adalah pada 21 Februari depan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.