BINTULU, 12 Mei - Lebih 600 penduduk terjejas banjir di kawasan Jepak di sini pada Mac lepas, menerima bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Bantuan membabitkan barangan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee memaklumkan, penerima terdiri daripada mereka yang mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Penduduk terjejas yang tidak mendaftar, tidak akan dipinggirkan.
Proses pengesahan sedang dilaksanakan dan setelah selesai, bantuan bakal disalurkan.
"Ada yang sudah terima, ada yang dalam proses. Ramai yang bersabar menunggu proses ini. Bagi yang sudah menghantar tetapi belum menerima, Pegawai Daerah sudah merujuk kepada ketua kaum untuk berhubung dengan pihak terbabit.
Langkah ini bagi membantu mereka termasuk dokumen-dokumen yang mungkin tidak lengkap," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Barangan Sumbangan Penduduk Terjejas Banjir DUN Jepak, di sini.
Jelas beliau lagi, penyaluran sumbangan itu simbol solidariti dan semangat kebersamaan masyarakat dalam menghadapi bencana.