KUALA LUMPUR, 12 Mei- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di seluruh negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, hubungan erat antara kaum bukan sahaja menjadi asas kekuatan negara, malah menjadi pemangkin kepada tunjang perpaduan nasional.
“Dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, keharmonian akan tercipta apabila kita saling hormat menghormati serta memahami antara satu sama lain.
“Bersama-sama kita membina masa depan yang lebih aman, bersatu padu dan makmur. Selamat Hari Wesak diucapkan kepada semua penganut agama Buddha di negara ini,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan hari ini.