KUALA LUMPUR, 12 Mei- Sebuah bangunan kedai dua tingkat musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan MJ/7, Taman Medan Maju Jaya, Petaling Jaya malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.26 malam.
Menurut beliau, seramai 18 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Pencala dikejarkan ke lokasi kejadian, dengan bantuan daripada BBP Petaling Jaya dan BBP Puchong.
“Kebakaran melibatkan bangunan berkeluasan 20 x 70 kaki persegi itu berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan tersebut.