BINTULU, 12 Mei- Sebuah bot tunda ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu selepas didapati beroperasi tanpa nakhoda sah dalam satu pemeriksaan di perairan tiga batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan lapan kru, terdiri daripada enam warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan seorang warga tempatan berumur antara 23 hingga 51 tahun.
Menurut beliau, bot terbabit disyaki melanggar Seksyen 22(2A) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal memaklumkan pertukaran nama nakhoda kepada pihak berkuasa.
“Kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan.
Bot bersama kesemua kru ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Bintulu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia dalam pada itu menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di laut.