fb fb fb fb fb

Banjir di Baling: Pasukan Petugas Khas ditubuh, laksana bancian serta penilaian kerosakan rumah

BALING, 12 Julai- Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan untuk membuat bancian dan penilaian berkaitan jumlah sebenar penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir lumpur, minggu lalu.

Ia juga bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dialami rumah atau premis terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata, pasukan itu juga diwujudkan supaya pertindihan maklumat dapat dielak, disamping memudahkan proses penyaluran bantuan selepas ini.

"Pasukan berkenaan terdiri daripada 80 pegawai dan anggota dari Pejabat Daerah Baling, Majlis Daerah Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka akan dibahagikan kepada enam kumpulan yang diketuai oleh penghulu bagi menjalankan kerja bancian di 41 kawasan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Pejabat Tanah dan Daerah Baling di sini.

(Mohd Shahadan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Baling)

Tambah beliau, bancian akan bermula esok dan dijangka mengambil masa selama dua hari melibatkan kesemua 1,228 laporan polis yang diterima.

Ia sekaligus akan memutihkan senarai laporan bertindih melibatkan premis yang sama.

"Kami akan berjumpa dengan kesemua mangsa yang terlibat dan rekodkan dalam borang bancian, kemudia ia akan dianalisis dan disahkan sebelum diangkat kepada Jawatankuasa Bencana Negeri, kemudian diangkat kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya lagi.

Media Baharu