fb fb fb fb fb

92 buah rumah rosak akibat angin kencang, hujan lebat di Perlis

KANGAR, 12 Julai- Kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda Perlis sejak awal pagi tadi sehingga pukul 8 malam ini mengakibatkan 92 buah rumah rosak akibat struktur rumah dan bumbung diterbangkan angin serta dihempap pokok.

Kawasan yang teruk terjejas ialah Taman 20, Bukit Keteri melibatkan 30 buah rumah terjejas.

Ribut turut menjejaskan rumah penduduk di Paya, Lubuk Sireh, Padang Pauh, Perawah, Panggas, Kubang Perun, Ulu Pauh, Balik Bukit, Batu 5, Abi, Kurung Batang, Wang Besar, Pekan Kangar, Masjid Putra dan Kuala Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus melaksana bancian bagi mendapatkan anggaran sebenar kerosakan dan jumlah rumah terlibat.

"Ini berikutan masih ada penduduk yang terjejas belum membuat laporan polis.

Bantuan bagi membaiki kediaman dan keperluan berkaitan akan disalurkan segera pihak MAIPs dan JKM setelah semua maklumat lengkap kerosakan setiap rumah diperolehi," katanya.

(Keadaan salah sebuah rumah yang rosak teruk akibat ribut)

Ketika ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) masih berada di lokasi kejadian bagi membantu penduduk terjejas berikutan hujan lebat dan angin kencang masih berlaku.

Media Baharu