fb fb fb fb fb

Banjir, APM Kedah hantar PARAS ke pantai timur

ALOR SETAR, 20 Disember- Pasukan Respon Bencana Sokongan (PARAS) digerakkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah bagi membantu agensi penyelamat banjir di pantai timur.

Seramai 20 orang anggota terlibat, terdiri daripada PDPA Kota Setar, Padang Terap dan Kubang Pasu.

Pasukan tersebut diketuai Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana APM Kedah ke Negeri Terengganu, Lt. (PA) Mohd Shukri Shuib.

Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata pasukan itu digerakkan ke pantai timur adalah sebagai khidmat sokongan dalam menyelamat mangsa yang terperangkap di kawasan banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta membantu dari segi kekuatan logistik untuk keperluan pengoperasian di sana.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelepasan Misi Bantuan ke Pantai Timur di Pejabat APM Daerah Kota Setar, malam tadi.

Pasukan itu juga akan membantu pengoperasian di PPS, tugasan pasca banjir dan lain-lain tugasan yang diperlukan mengikut keperluan semasa.

Selain keanggotaan, APM Kedah juga menggerakkan aset air dan darat seperti lori, kenderaan pacuan empat roda, bot dan lain-lain peralatan menyelamat untuk digunakan ketika operasi.


(Majlis Pelepasan Misi Bantuan ke Pantai Timur di Pejabat APM Daerah Kota Setar dilancar pada Isnin)

Media Baharu