fb fb fb fb fb

Banjir: 113 pemborong dan peruncit terima kuota tambahan - KPDN

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail

TUMPAT, 12 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 113 pemborong dan peruncit sebagai langkah memastikan bekalan makanan mencukupi ketika banjir.
 
Turut sama diberikan kemudahan itu, 15 buah pengusaha dan stesen minyak di negeri itu.
 
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata kesemua mereka yang dilantik itu akan diberikan kuota tambahan sebanyak 30 peratus berbanding kuota asal membabitkan 21 barangan keperluan asas termasuk gandum, beras, gula dan sebagainya.
 
Untuk peruncit dan pemborong terpilih ini, kita bagi kuota tambahan untuk lima bulan sebanyak 30 peratus daripada kuota asal, bermula November hingga Mac 2025.

Tanggungjawab ini diberi demi memastikan bekalan dalam masa lima hingga enam bulan. Ini mencukupi untuk bekalan jika berlaku banjir," kata Azman Ismail kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media selepas mengadakan lawatan di premis pemborong di Wakaf Bharu, di sini.
 
Tambahnya, pemegang lesen pemborong dan peruncit yang dilantik itu akan memastikan barang kawalan serta keperluan asas lain yang dijual di premis berkenaan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
 
Pada masa sama, mereka yang dilantik itu juga akan mengadakan Program Jualan Rahmah di premis berkenaan sekiranya berlakunya banjir di daerah masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata pihaknya merampas pelbagai barang kawalan membabitkan nilai lebih RM4.9 juta menerusi 452 tindakan kes dalam tempoh Januari sehingga semalam.
 
Sementara itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan pengilang dan pemborong turut bersubahat sehingga menyumbang kepada kegiatan penyeludupan barang bersubsidi secara berterusan.
 
Menurutnya, setiap rampasan dilakukan sama ada membabitkan minyak masak atau gula, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengesan punca bekalan berkenaan diperoleh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM