LANGKAWI, 12 November- Mayat seorang lelaki ditemukan terapung berhampiran Titi Nelayan Kampung Bukit Malut, di sini pagi tadi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Shaarani Ghazali, 32 tahun ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, berseluar hitam (tracksuit) lebih kurang 10 meter dari Titi Nelayan.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima makluman daripada MERS 999 kira-kira pukul 10.45 pagi.
"Mangsa yang bekerja sebagai nelayan dilaporkan keluar dari rumah kira-kira pukul 7.00 malam semalam dipercayai mencari siput yang merupakan rutin harian mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan identiti mangsa disahkan oleh adik kandung mangsa Saodi Ghazali yang berada dilokasi kejadian," menurut kenyataan itu.
Turut ditemui bersama-sama mangsa ialah plastik berisi siput kupang.
Mangsa juga dilaporkan mempunyai penyakit sawan dan kali terakhir mendapat rawatan adalah pada tahun 2017 di Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.
"Pemeriksaan awal ke atas mayat tidak menemui sebarang kesan kecederaan berunsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian," kata Shariman.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.