PUTRAJAYA, 12 Ogos - Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Profesor Dr. Muhammad Yunus menyifatkan Malaysia sebagai 'rumah kedua' kerana telah memberi peluang besar kepada rakyat Bangladesh, khususnya pekerja negara itu yang kini menetap dan bekerja di negara ini.
"Rumah kedua, ia (Malaysia) adalah rumah kedua kami dan kami berasa sangat dekat dalam banyak cara, khususnya ramai pekerja Bangladesh yang bekerja di sini dan pendapatan mereka dihantar pulang ke Bangladesh yang memberi mereka kelangsungan hidup.
"Mereka juga dilayan dengan sangat baik. Jadi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menerima begitu ramai rakyat kami," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra di sini.
Beliau turut mengimbas peranan penting Malaysia yang menjadi antara negara terawal memberikan sokongan kepada Bangladesh, selepas kerajaan baharu dibentuk hasil kebangkitan rakyat setahun lalu.
"Teka siapa yang muncul? Rakan saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul untuk memberi sokongan kepada kami. Ia satu perasaan yang indah apabila seorang rakan datang pada saat kita memerlukan," katanya.
Menurut Muhammad Yunus, Bangladesh kini berada di landasan kukuh selepas berjaya memulihkan ekonomi, kestabilan negara dan institusi, serta bakal mengadakan pilihan raya pada Februari 2026.
Beliau juga berharap agar hubungan Malaysia-Bangladesh dapat diperluas dalam bidang pelaburan dan perdagangan.