SEBERANG JAYA, 12 Ogos - RM3 juta diperuntukkan setahun oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi menaja program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan asnaf fakir dan miskin.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, sejak tahun 2019, seramai 120 pelatih ditaja bagi mengikuti kursus kemahiran di institusi terpilih, antaranya di Penang Skills Development Centre (PSDC), Akademi Binaan Malaysia Cawangan Canglun dan Kulim Advanced Technology.
"Jadi mudah-mudahan dengan kejayaan memperoleh sijil, mereka mendapat peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran berpendapatan tinggi dan akhirnya mereka ini juga menjadi muzaki pembayar zakat di Pulau Pinang.
"Kita akan menilai permohonan asnaf, kalau termasuk dalam asnaf fakir dan miskin, mereka akan ditaja sepenuhnya oleh Zakat MAINPP," katanya.
Latihan yang mengambil masa enam bulan itu memberi jaminan peluang pekerjaan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara pusat latihan dengan syarikat-syarikat industri.
Tahun lalu, seramai 58 usahawan asnaf berjaya menjadi pembayar zakat.
MAINPP menyasarkan lebih ramai akan keluar daripada kepompong kemiskinan melalui program ini.
Zakat MAINPP juga berharap kutipan zakat tahun ini mencecah RM200 juta, sekali gus membolehkan peruntukan TVET ditingkatkan daripada RM3 juta kepada RM5 juta setahun.