fb fb fb fb fb

Bangkai paus ditemui di Pekan, spesies dalam siasatan

Petugas Jabatan Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA), Terengganu, telah menjalankan proses pengecaman spesies terhadap bangkai seekor ikan paus yang terdampar di Pantai Sungai Miang, hari ini/BERNAMA

PEKAN, 24 Februari- Bangkai seekor ikan paus ditemukan terdampar di Pantai Sungai Miang, Pekan Pahang berkemungkinan jenis Bryde atau Fin.

Jabatan Perikanan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan itu sejak seminggu lalu.

Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan dari Pejabat Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA), Terengganu telah turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa bangkai paus tersebut telah lama mereput,menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies.

Oleh itu, pasukan IPPRA akan mengambil sampel bagi menjalankan analisis eDNA untuk menentukan spesies dengan lebih tepat.

Berdasarkan keadaan bangkai, spesies yang dianggarkan adalah Bryde atau Fin," kata kenyataan itu.

Pihak Jabatan Perikanan turut ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat mengenai penemuan itu.

Kerjasama sebegitu penting dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan marin di perairan negara.

"Untuk makluman, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam.

Sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pihak jabatan akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM