fb fb fb fb fb

Bakat muda medium tarik pelaburan, sokong ekonomi negara

Thomas Mathew

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Pembangunan bakat muda kini perlu dilihat sebagai pelaburan strategik setanding dengan pembangunan infrastruktur utama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Thomas Mathew berkata, kebolehan mengakses bakat yang tepat merupakan antara pertimbangan utama pelabur dalam menentukan destinasi pelaburan.

"Majoriti mobiliti belia ASEAN masih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah, sedangkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi terus meningkat. Kita masih belum bergerak sepantas yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Kompendium Mobiliti Belia ASEAN 2025 di ibu negara hari ini.

Menerusi kompendium itu, ia dapat menjadi alat serantau yang membantu proses pembuatan dasar, memacu kerjasama antara institusi, dan memastikan tindakan dilaksanakan di lapangan.

Kompendium tersebut dirangka bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar universiti dan graduan baharu menjalani latihan industri serta pembelajaran rentas sempadan di negara-negara ASEAN.

Inisiatif itu turut meneliti pelbagai isu yang membataskan pergerakan bakat muda di rantau ini termasuk kekangan maklumat, halangan kewangan, ketidaksamaan peraturan imigresen, keperluan bahasa serta isu pengiktirafan kelayakan akademik antara negara anggota.

"Bagi pelajar, kompendium ini membuka laluan sebenar untuk memperoleh pengalaman kerja di peringkat serantau dan antarabangsa. Untuk institusi pengajian tinggi, ia memperluas peluang kerjasama, perkongsian kredit dan pelaksanaan program mobiliti bersama.

"Manakala bagi majikan, ia memberi gambaran jelas tentang potensi bakat muda ASEAN serta kaedah terbaik untuk mengakses kumpulan bakat ini," katanya lagi.

Ia dijangka menawarkan penyelesaian termasuk cadangan senarai semak imigresen mesra pengguna, pelaksanaan pasport kemahiran digital, rangka kerja visa latihan industri, serta sokongan pembiayaan untuk pelajar yang memerlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai rantai serantau, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pertanian, mampu dimaksimumkan sekiranya mobiliti bakat dipermudahkan.

Kajian Kompendium Mobiliti Belia ASEAN merupakan inisiatif kerjasama antara TalentCorp dan Asia School of Business yang meneliti cabaran serta peluang mobiliti tenaga kerja belia, terutamanya dalam kalangan pelajar universiti dan graduan baharu.

Ia turut merangkumi panduan praktikal dan senarai semak keperluan imigresen merentasi kesemua 10 negara anggota ASEAN, bagi menyokong pelajar dan profesional muda yang berhasrat menjalani latihan industri di peringkat serantau.

Kajian itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI