GEORGE TOWN, 28 Julai - Portal My Mahir yang dibangunkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berupaya menyepadankan semua sektor pekerjaan konvensional dengan perkembangan teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, perkembangan teknologi terkini, termasuk penggunaan teknologi AI, mempunyai impak tinggi dalam sektor pekerjaan pada masa akan datang.
Jelas beliau, dapatan berkenaan berdasarkan laporan dikemuka 10 sektor ekonomi dalam negara yang menggariskan keperluan pekerja bagi tempoh masa tiga hingga lima tahun lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan The 52nd ARTDO International Conference.
Jelasnya lagi, walaupun terdapat beberapa sektor pekerjaan akan terjejas dengan pembangunan berteraskan AI, kerajaan telah mengadakan skim latihan semula dan pembangunan kemahiran.
Usaha tersebut dilakukan bagi mememastikan pekerja kekal relevan dengan perubahan tersebut.
Kementerian juga telah membangunkan latihan bersama 33 Institut Latihan Perindustrian seluruh negara.
Pada masa sama, mengadakan kolaborasi dengan sektor institusi latihan lain, termasuk pihak swasta dalam mendedahkan golongan pekerja dengan kursus berkaitan sektor AI.