PUTRAJAYA, 28 Julai - Usaha sedang digerakkan bagi membawa pulang kesemua 42 jemaah umrah Malaysia yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu akibat ketiadaan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa kerajaan telah berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mereka terjamin.
Pihaknya memandang serius insiden itu dan memberi amaran bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang menipu atau memperdaya jemaah umrah terutama yang melibatkan warga emas dan penjawat awam.
Sejak awal tahun ini, orang ramai telah berkali-kali diingatkan agar membuat semakan status syarikat dan pakej umrah melalui saluran rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menerusi portal dan aplikasi semakan ejen berlesen.
Beliau turut menyeru umat Islam di negara ini agar sentiasa berwaspada, dan hanya memilih pengendali umrah yang sah, berlesen, serta berdaftar dengan pihak berkuasa.