PUTRAJAYA, 14 Mei- Bakal jemaah haji Malaysia perlu menjaga nama baik negara dan tidak melakukan perbuatan menyalahi undang-undang termasuk menyalah guna visa umrah atau pelancongan.
Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang negara Arab Saudi, malah akan mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua negara.
"Kita nak melakukan ibadah, tapi pada masa sama kita lakukan dengan cara melanggar peraturan dengan mencuri masuk.
Ia tidak kena, kerana kita mahukan ibadah yang sempurna yang diterima Allah untuk dapatkan haji yang mabrur," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Putra, di sini, malam tadi.
(Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif TH)
Tambah Datuk Seri Syed Saleh, perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana pihak berkuasa negara itu akan menjalankan pemeriksaan dan berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu beliau memaklumkan, kira-kira 1,600 bakal jemaah haji menyertai kursus perdana anjuran Lembaga Tabung Haji tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 29 April hingga hari ini.
Manakala penerbangan pertama jemaah haji negara adalah pada 21 Mei ini.