KAMPAR, 14 Mei- Satu jawatankuasa khas bakal dibentuk bagi menangani masalah jenayah dalam talian di Perak.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, jawatankuasa tersebut akan terdiri daripada beberapa agensi bawah portfolionya dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, satu pertemuan akan diadakan bersama pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat.
"Selepas perbincangan awal dengan pihak polis dan SKMM nanti kita akan lihat bagaimana kaedahnya.
Kita ada penyaluran daripada pihak RTM dan media, kita juga ada Jabatan Penerangan sebagai medium utama kita," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Tualang Sekah, di sini.
(Mohd Azlan Helmi, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri)
Ujarnya lagi, usaha besar-besaran memerangi jenayah dalam talian sedang dilakukan menerusi kempen kesedaran yang digerakkan agensi berkaitan.
Polis Perak sebelum ini melaporkan, sebanyak 564 kes penipuan dalam talian direkodkan di negeri itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM14.6 Juta.