KUALA LUMPUR, 13 Mei- Jemaah haji yang membeli pakej menggunakan Visa Haji Jemputan diingatkan untuk berhati-hati sebelum membuat pembayaran kepada mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan pakej haji menerusi visa tersebut.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, pihak tertentu akan bersungguh-sungguh mempromosikan pakej haji dengan menabur pelbagai janji yang boleh menarik minat jemaah untuk membeli pakej mereka dengan membuat bayaran penuh.
“Setiap tahun kami dimaklumkan dengan pelbagai berita mengenai jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah dan sebagainya.
Kementerian Haji di Arab Saudi menyediakan platform dalam talian rasmi iaitu jemaah dikehendaki mendapatkan dan membayar penempatan mereka di Mekah dan Madinah, khemah di Arafah, serta pengangkutan,” katanya dalam menerusi kenyataan.
(Foto hiasan)
Beliau menggesa jemaah untuk tidak membuat sebarang pembayaran sehingga pengesahan bahawa permohonan mereka untuk Visa Haji Jemputan telah diterima dan ia biasanya diterima pada saat-saat akhir.