KUALA TERENGGANU, 14 Mei- Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani 2023 yang berlangsung di Terengganu semalam merekodkan kehadiran lebih 25,000 pengunjung.
Selain dapat menikmati beraneka juadah, rata-rata pengunjung menzahirkan keterujaan mereka apabila dapat beramah mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perasaan saya teruja sebab ini pertama kali saya datang ke majlis yang besar sebegini dan dapat berjumpa sendiri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Mohd Izzudin Kamal.
"Teruja sangat sebab pertama kali dapat berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bersemuka.
Makanan juga sedap, macam-macam ada," ujar seorang lagi pengunjung, Siti Nur Umi Nabihah Abd Aziz.
Lebih menarik, terdapat pengunjung yang sanggup menyewa bas dari Pahang untuk bersama-sama memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.
"Kami datang seramai 88 orang untuk meraikan hari raya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat di Terengganu.
Kami bertolak pukul 10.00 pagi, jalan-jalan bawa peserta rombongan dan sampai sini lebih kurang pukul 6.00 petang," kata Maheswaran Ramachandran.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pengunjung
Rumah Terbuka Malaysia Madani 2023 di sini / Foto BERNAMA)
Rumah Terbuka Malaysia Madani 2023 merupakan anjuran Jabatan Perdana Menteri dan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama kerajaan negeri.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di perkarangan Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) kira-kira pukul 8.50 malam, disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.
Istimewanya Perdana Menteri turut sama menyanyikan lagu 'Oh Azizah' pada majlis tersebut.