KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengumumkan SemarakNiaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan bagi tahun 2022.
Nilai ini merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.
Menurut Zafrul, tahun hadapan, sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.
"Antaranya termasuklah pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana RM950 juta. Ini termasuk RM350 juta untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga Bumiputera.
"Skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk Bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan RM300 juta.
"Kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah empat peratus.
"Kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disediakan dana RM25 juta," katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, RM100 juta juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum india, dan program kewangan sosial iTEKAD disediakan RM10 juta turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai.
Manakala, sumbangan koperasi dalam sejarah 100 tahun di Malaysia juga telah membantu ahlinya menyumbang kepada pembangunan negara.
Zafrul berkata, tahun hadapan, RM100 juta diperuntukkan untuk Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyediakan pembiayaan untuk membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan.
"Usaha ini turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi ke arah bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna yang konsisten dan pada harga yang lebih murah," katanya.