TAMBUNAN, 4 Februari Bajet 2023, diharapkan dapat membawa harapan besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Doktor Jeffrey Kitingan berkata, antaranya penambahan peruntukan pembangunan di kedua-dua negeri itu yang merupakan wilayah penting seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.
"Kalau Sabah, Sarawak dan Semenanjung ini adalah entiti yang merupakan Malaysia dan kita adalah rakan kongsi seharusnya kita mempunyai formula yang menggambarkan hubungan itu.Saya telah mencadangkan dulu supaya semenanjung 50 peratus, sabah dan sarawak 50 peratus jadi diantara sabah dan sarawak itu bahagi dua. Jadi ini akan menggambarkan hubungan equal partnership atau rakan kongsi", ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Daerah Tambunan anjuran Pejabat Daerah Tambunan bersama Dewan Perniagaan TiongHua Tambunan, di Tambunan.
Sementara itu, Datuk Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah berkata, penambahbaikan kementerian berkenaan sudah tentu akan merancakkan lagi pelbagai program dan peluang pembangunan ekonomi kepada negeri.
Sebelum ini kementerian hanya memfokuskan pengeluaran hasil pertanian dan penternakan.
Justeru di bawah nama baharu yang dijenamakan, kementeriannya kini turut mengetengahkan pemprosesan produk hiliran hasil tempatan untuk dipasarkan lebih meluas sekali gus meningkatkan sosioekonomi rakyat.
(Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Doktor Jeffrey Kitingan/FOTO RTM)