(Suasana di kuil Batu Caves yang mula dibanjiri oenganut Hindu)
KUALA LUMPUR, 4 Februari- Seramai 1,888 pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor ditugaskan di lima zon sekitar Batu Caves selain dibantu 11 agensi sempena sambutan Thaipusam.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, bilangan pengunjung yang hadir direkodkan setakat ini adalah lebih 300,000 dan keadaan di sekitar kawasan Batu Caves masih terkawal dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Pihak kuil katanya turut memaklumkan kepada polis bahawa pengunjung akan lebih ramai apabila ketibaan pedati petang ini.
"Kami jangkakan selepas perarakan Kavadi tiba, kemungkinan pengunjung akan lebih ramai pada sebelah petang dan juga pada keesokkan hari, setakat ini kami tak terima apa-apa inisiden buruk, hanya saman-saman terhadap kenderaan yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.
"Jadi, kami nasihatkan mereka yang datang dengan kereta supaya mengikuti arahan yg dikeluarkan oleh anggota trafik supaya tidak mengganggu pengunjung dan kedai-kedai di sepanjang jalan,"katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dalam kenyataan hari ini berkata polis kontinjen Kuala Lumpur telah menugaskan seramai 682 pegawai dan anggota polis bagi melancarkan perjalanan dan keselamatan lalu lintas semasa pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Subramaniam, Batu Caves.
Beliau berkata berikutan itu, beberapa lokasi jalan telah ditutup dan dilencongkan malam tadi hingga 4.00 pagi tadi.
Katanya, beberapa jalan juga akan dilencongkan Isnin ini bermula 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Antara yang terlibat ialah Jalan Tun H.S.Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Perak/Pudu, Jalan Leboh Ampang, Jalan Ampang dan Jalan Munshi Abdullah.
Jalan-jalan lain ialah Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua arah).
“Orang awam dinasihatkan agar merancang perjalanan awal serta memilih laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Polis juga menasihatkan agar orang ramai tidak mengganggu-gugat ketenteraman awam semasa pergerakan membawa pedati itu,” katanya.
(Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi)