fb fb fb fb fb

Bajet 2023: KPT harap peruntukan lebih besar

(Foto FB Dato' Dr. Noraini Ahmad) 

PETALING JAYA, 1 Oktober- Bajet 2023 diharap menyediakan peruntukan lebih tinggi bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berbanding RM14.5 bilion bawah belanjawan sebelumnya.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ini bagi memastikan infrastruktur lebih baik dapat disediakan selain membolehkan agenda pemerkasaan institusi pengajian awam, pelajar dan graduan dapat diteruskan.

"Kita faham bahawa pelajar ini hendak keadaan mereka bila hendak belajar dalam keadaan kondusif dan selesa dan kami harap ada bantuan bajet diberikan dalam kita hendak membaiki kemudahan usang di universiti-universiti awam ini.

"Sudah semestinya fokus utama adalah kepada golongan pelajar B40 tapi kita juga melihat pelajar daripada golongan M40 M1 yang menghadapi cabaran terutama sekarang ini," kata Noraini selepas Majlis Pelancaran Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya Malaysia Aviation Group (MAG) 2022 di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggalakkan penyertaan dan kerjasama pihak industri bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran siswazah tempatan terutama yang selari keperluan dan kehendak pasaran.

Tahun lalu, kadar kebolehpasaran siswazah berada pada paras 85.5%, meningkat 1.1% berbanding tahun 2020 dan melebihi 0.4% berbanding sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

(KPT harap peruntukan lebih besar/Foto fail)

Media Baharu