KOTA BHARU, 12 Jun-Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) menyasarkan 20 hingga 30 Seminar program Perlindungan Saksi tahun ini di seluruh negara.
Seminar tersebut penting bagi memberi kefahaman kepada rakyat berkaitan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Khairul Anwar Zakaria berkata, Akta 696 merujuk kepada perundangan yang dirancang untuk memberikan perlindungan kepada saksi yang memberi keterangan dalam kes-kes jenayah atau kesalahan lain.
"Pertamanya, seminar berkenaan perlu bagi menyebar luas kefahaman tentang Akta Perlindungan Saksi 2009. Selain jaringan kerjasama dengan agensi lain.
"Kita perlukan bantuan daripada semua agensi yang berkaitan bagi memastikan perlindungan saksi dapat ditegakkan", katanya demikian kepada pemberita selepas Program Seminar Perlindungan Saksi tahun 2024 di sini hari ini.
Hadir sama merasmikan program tersebut, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Seminar tersebut disertai lebih 200 peserta dari 27 agensi Penguatkuasa di Kelantan.