fb fb fb fb fb

Bagus teruskan tradisi jual lemang sambil beramal

Setakat ini, hampir 20,000 batang lemang telah terjual.

SEPANG, 13 April- Persatuan Belia Gugusan Salak (Bagus), meneruskan tradisi menjual lemang sambil beramal untuk memastikan kebajikan masyarakat setempat terpelihara.

Mereka yang terdiri daripada golongan belia sanggup berbahang panas meniaga lemang demi memastikan hasil jualan juadah Aidilfitri itu dapat dijadikan modal melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Pengerusinya, Muhammad Hydier Hamid berkata tradisi menjual lemang sambil beramal itu telah dilakukan sejak 14 tahun lalu.

Katanya, tahun ini, Bagus menyasarkan sebanyak 32,000 batang lemang akan terjual.

"Tahun ini, hasil sebahagian keuntungannya akan disalurkan untuk menampung kos pembelian katil pesakit dan kerusi roda untuk diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan di kawasan itu. 

"Program ini dapat dicontohi belia-belia di kawasan lain, macam di sini kita buat satu program membakar lemang, yang mana raya tahun ini hampir 75 orang petugas ditugaskan untuk membakar lemang.

"Keseluruhan petugas adalah belia di kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Setakat ini, hampir 20,000 batang lemang telah terjual.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM