PUTRAJAYA, 3 Februari- Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) mengiktiraf penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri atau 'Government Industry TVET Coordination Body,' (GITC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata buat julung kalinya, badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja dalam bidang tersebut.
Mesyuarat MTVET itu turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.
"Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC," katanya menerusi satu kenyataan.
Perdana Menteri turut menjelaskan mesyuarat itu juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Inisiatif itu bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.
"Sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.
Tambah Perdana Menteri, mesyuarat juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.
Inisiatif itu dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.
"Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kata Perdana Menteri.
Bawah Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
Inisiatif itu, jelas Perdana Menteri bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.
"Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan." kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.
Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.
"Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), katanya.