(Gambar Hiasan)
PUTRAJAYA, 3 Febuari- Kementerian Pengangkutan tiada perancangan untuk menarik balik atau membatalkan permit sekolah memandu dan pengajar mereka yang bekas pelajarnya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, melalui satu kenyataan memaklumkan, ia hanyalah satu pandangan peribadi dan bukan ketetapan dasar oleh kementerian pada masa ini.
"Sebarang hala tuju dasar atau cadangan penambahbaikan akan dikaji secara menyeluruh dan saintifik terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan.
"Kementerian tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya dipersalahkan semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas," katanya.
Jelasnya lagi, kajian terperinci juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan.