KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sebanyak lapan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dikenal pasti mengalami kelewatan jadual setakat 31 Disember tahun lalu, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) menerusi carapan data MyProjek, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan tiga daripada lapan projek tersebut telah siap sepenuhnya, melibatkan dua projek di Sabah iaitu Projek Penggantian Jambatan Sungai Mangkaladoi dan Jambatan Jalan Tamparuli, serta satu di Pahang, iaitu Projek Menaik Taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah.
Bagi projek yang mengikut jadual pula, antara yang terlibat ialah Central Spine Road Pakej 3, laluan Gua Musang ke Kampung Relong, Kelantan, manakala Projek Menaik Taraf Jalan Dongkungan Tambunan dikategorikan sebagai projek mendahului jadual.
Antara punca kelewatan yang dikenal pasti termasuk kelemahan pengurusan dalaman dan masalah aliran kewangan kontraktor, isu pengambilan balik tanah, kelewatan kelulusan dan pengalihan bekalan utiliti, perancangan serta penjadualan lemah oleh kontraktor, serta perubahan atau tambahan skop projek atas kehendak pelanggan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan/RTM
“Tindakan kita, pertama, surat amaran kelewatan akan dikeluarkan kepada kontraktor. Kedua, Ganti Rugi Ditentukan (LAD) akan dikenakan bagi projek yang tidak disiapkan mengikut tempoh dalam kontrak. Ketiga, penamatan akan dilaksanakan sekiranya projek didapati ‘sakit’ dan tidak berdaya maju. Kontraktor yang ditamatkan akan digantung selama dua tahun, dan tidak dibenarkan menyertai sebarang kontrak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan LKAN di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Selain itu, KKR turut melaksanakan inisiatif Tadbir Urus Semakan Status dan Penyelesaian Projek (PSG) serta Panel Penyelaras Kontrak (CCP) bagi memantau projek yang mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus kemajuan fizikal.
Sehingga 8 September lalu, sebanyak 2,233 projek fizikal pembinaan sedang dilaksanakan, melibatkan 207 kementerian dan agensi, berdasarkan laporan skala Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam masa sama, JKR juga sedang melaksanakan 6,829 kerja penyenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf di seluruh negara.