fb fb fb fb fb

Himpunan solidariti Gaza: Rapid KL lanjut operasi LRT Bukit Jalil malam ini

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke Majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil sehingga 12.30 tengah malam.

Langkah itu bertujuan memastikan kelancaran perjalanan penumpang pulang selepas majlis yang dijadual bermula pada pukul 8 malam.

Menurut kenyataan Rapid KL, beberapa stesen pertukaran terpilih turut akan beroperasi lebih lama bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir masing-masing.

0810 RAPID KL LANJUT 2Gambar FB Rapid KL

"Antara laluan yang terlibat ialah Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling, Monorel, Kajang dan Putrajaya, melibatkan beberapa stesen utama seperti Masjid Jamek, Hang Tuah, Tun Razak Exchange, Chan Sow Lin, Maluri dan Sungai Besi," menurut kenyataan itu.

Rapid KL turut menasihatkan penumpang menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki mencukupi bagi melancarkan urusan perjalanan.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.myrapid.com.my atau media sosial @MyRapidKL.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN